Wednesday, December 29, 2010

BERLAKUNYA KIAMAT

BERLAKUNYA KIAMAT

KEJADIAN yang maha dahsyat dan maha pedih akan tetap berlaku seperti yang dijanjikan Allah SWT kepada manusia di dalam Al-Quran. Ia mempunyai berbagai nama yang hebat seperti Al-Haqqah (sesuatu yang pasti dayang), Al-Qari’ah (pengegar), Al-Fauzul Akhbar (kegemparan yang maha dahsyat), Al-Zalzalah (gempa kegoncangan bumi), Al-Shaakhkhah (hari yang memekakkan telinga) serta berbagai nama lagi. Semua nama yang diberikan itu sebagai menggambarkan kepada kita betapa dahsyatnya hari kiamat itu.

Disaat itu bumi akan bergoncang dengan hebatnya, gunung-ganang berterbangan meletus menjadi abu, terjadi letupan yang luar biasa di langit dan di bumi, kilat dan guruh yang luar biasa tajamnya akan berlaku hingga akan membutakan mata manusia yang ada. Jantung dan hati manusia pula remuk redam dan hancur akibat ketakutan yang amat sangat. Firman Allah yang bermaksud :

 “Sesungguhnya kegoncangan pada hari Kiamat itu adalah satu peristiwa yang besar (dahsyat sekali). Pada hari itu engkau semua akan melihat kaum wanita akan melupakan anak susuannya dan semua wanita yang hamil akan melahirkan kandungannya. Juga semua manusia berada dalam kemabukkan padahal sebenarnya mereka itu bukan mabuk melainkan siksa Allah SWT yang sangat besarnya”.

Surah Al-Haj : Ayat 1 – 2

Tiupan Sangkakala (Nafiri)

Setelah sampai waktunya dan Allah SWT telah pasti tentang bahawa kiamat akan berlaku pada masa tersebut, Dia akan memerintahkan Malaikat Israfil supaya meniupkan sangkakala atau disebut juga sebagai Shur yakni terompet berbentuk seakan-akan tanduk dan amat besar sekali saiznya.

Tiupan akan dilakukan sebanyak dua kali atas perintah Allah SWT. Tiupan kali pertama adalah sebagai isyarat kepada terjadinya hari Kiamat di mana apabila ia ditiup, bumi akan bergoncang dengan sehebat-hebatnya. Gunung ganang bergoncang dan berpecah belah, sementara matahari, bulan, bintang-bintang dan seluruh planet menjadi kacau bilau dan tidak menentu pergerakan dan perjalanannya.

Makhluk lain seperti manusia, binatang dan tumbuhan pula berada dalam ketakutan yang amat sangat hingga ada yang mati kerana terkejut. Ini telah dijelaskan oleh Allah SWT yang bermaksud :

“Dan (ingatlah) hari yang akan ditiupkan sangkakala lalu terkejutlah mereka yang berada di langit dan yang berada di bumi kecuali orang-orang yang dikehendaki Allah. Dan tiap-tiap sesuatu akan datang kepadaNya dengan merendahkan diri”.

Surah An-Naml : Ayat 87

Kemudian dalam keadaan kacau bilau dan huru hara yang tak menentu itu, Allah SWT akan memerintahkan untuk tiupan kali kedua. Tiupan ini akan mematikan semua makhluk yang ada di muka bumi ini. Manusia, haiwan, tumbuhan termasuk jin dan iblis. Semua bintang-bintang dan planet akan berhenti beredar. Semua air di lautan dan celah-celah bukit dan gunung berhenti mengalir. Begitu juga dengan matahari dan bulan semuanya dimatikan cahayanya dan jatuh berguguran ke bumi. Lamanya tempoh masa yang ditetapkan antara dua tiupan itu tidaklah diketahui dengan tepat oleh semua makhluk melainkan Allah SWT. Walaubagaimanapun daripada riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a berkata :

“Bahawa lamanya antara dua tiupan itu ialah 40. Ketika ditanyakan orang apakah 40 hari. Abu Hurairah berkata ‘aku lupa’. Ketika ditanyakan adakah 40 bulan. Abu Hurairah menjawab ‘aku lupa’. Kemudian ketika ditanya adakah 40 tahun. Ia menjawab ‘aku lupa’.”

Ini menunjukkan semua itu tetap menjadi rahsia Allah SWT. Menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Abu Hurairah r.a :

“Bahawa sesudah Malaikat Israfil meniupkan sangkakala dan seluruh isi langit dan isi bumi mati serentak, maka Malaikat Izrail (Malaikat Maut) akan datang kepada Allah SWT dan melaporkan, “Ya Allah, semuanya telah mati melainkan Engkau kerana Engkau zat Yang Maha Hidup, berdiri sendiri dan tidak mati selama-lamanya. Juga yang masih hidup ialah Malaikat-Malaikat yang mendukung Arasy (Hamlatul-Arsy), Jibrail, Mikail dan aku sendiri”.

Maka Allah SWT memerintahkan supaya dimatikan Jibrail dan Mikail. Lalu matilah kedua malaikat itu. Kemudian Allah SWT memerintahkan pula supaya dimatikan Malaikat Hamlatul-Arsy. Malaikat Izrail lalu mematikannya. Allah perintahkan Arsy supaya merampas sangkakala yang ada di tangan Malaikat Israfil dan mematikannya. Maka matilah Malaikat Israfil. Kemudian Malaikat Izrail akan mengadap Allah SWT dan berkata :

“Telah mati semua yang masih hidup kecuali Engkau Zat Yang tetap Hidup dan juga saya”. Berkatalah Allah kepada Malaikat Izrail, ‘Kamu juga adalah sebahagian dari makhlukKu maka engkau juga harus mati’.” Maka matilah Malaikat Izrail.

Pada masa itu hanya Allah SWT sebagai Zat Yang Kekal sahaja yang tetap hidup dan akan terus hidup. Lalu Allah SWT akan menggulung bumi dan langit seperti menggulung kertas. Ini seperti yang disebutkan dalam surah Al-Anbiya ayat 104 yang bermaksud :

“Pada hari Kami lipat langit seperti melipat daftar buku-buku. Sebagaimana Kami mulai permulaan makhluk, begitu pula Kami mengulanginya. (Itulah) janji Kami. Sesungguhnya Kami (mesti) akan menunaikannya”.

Apakah yang akan berlaku selepas ini? Demikian pertanyaan Allah SWT yang diulangi sebanyak tiga kali berturut-turut. Kemudian Allah menjawab kepada dirinya sendiri :

“Seluruh kekuasaan hari ini adalah dipegang oleh Allah SWT (untuk Allah) Yang Maha Tunggal lagi Maha Perkasa”.

Surah Al-Mukmin : Ayat 16

Lalu Allah SWT menggantikan bumi yang telah musnah itu dengan bumi yang baru di mana ianya hanya mendatar dan rata sesayup mata memandang tanpa menurun atau menanjak. Begitu juga dengan langit yang dipenuhi dengan planet dan bintang-bintang yang baru belaka.

Lalu selepas itu barulah dihidupkan kembali semua makhluk yang lain. Tumbuh-tumbuhan, binatang, jin dan iblis serta seluruh Malaikat dan manusia. Di dalam tafsir As-Sa’laby dinyatakan tentang kebangkitan semula ini bermula dengan hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah mengenai jangka masa tiupan sangkakala selama 40.

Mengikut tafsir itu, selepas kematian seluruh isi alam selama 40 tahun, maka Allah akan menurunkan hujan selama 40 hari tanpa hentinya. Ini menyebabkan seluruh permukaan bumi digenangi air sedalam 12 hasta tingginya. Dengan air itu Allah menumbuhkan setiap jasad yang sudah mati beribu-ribu abad lamanya.

Selepas itu Allah akan menghidupkan semua malaikat Hamlatul-Arsy, Jibrail, Mikail, Izrail dan Israfil. Apabila Israfil hidup kembali, ia diperintahkan untuk meniupkan sangkakala yang ketiga. Kali ini semua roh-roh akan kembali kepada jasad masing-masing yang sudah tumbuh dengan sempurna. Lalu sempurnalah kebangkitan semua seperti yang Allah SWT janjikan.

Bagaimanakah jasad yang sudah hancur dimakan tanah selama berabad-abad itu boleh hidup kembali? Mengikut satu hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Hibban Adri Abu Said, Rasulullah SAW berkata :

“Tanah akan memakan seluruh bahagian dari tubuh manusia selain ujung ekornya”. Mereka bertanya, “Apakah itu ya Rasulullah?” Rasulullah SAW menjawab, “Bahagian sebesar biji bayam, dari bahagian itulah kamu akan ditumbuhkan”.

Jadi kejadian manusia untuk kali kedua seakan-akan sama dengan kejadian awalnya. Daripada satu sel yang kecil yang tidak musnah dan hancur walaupun dikuburkan sekian lama atau dibakar menjadi abu, ia tetap akan hidup dengan kehendak Allah SWT. Kemudian ia akan tumbuh menjadi jasad sebagaimana jasad seseorang itu semasa di dunia dulu. Bayangkan betapa Allah SWT itu Maha Berkuasa dan Maha Pencipta.

No comments:

Post a Comment