Thursday, January 20, 2011

Pada bulan Ogos baru lalu, seorang jurnalis akhbar Israel Hareetz bernama Amira Hass telah menulis tentang tindakan tentera Zionis menangkap kanak-kanak dari sekolah mereka dan kemudiannya disiksa dan dihina ketika ditangkap dan berada dalam tahanan. Kanak-kanak ini kebanyakannya tangkap atas tuduhan melontar batu. Mereka lazimnya dikurung di dalam penjara tentera atas tuduhan memberi keterangan dan maklumat palsu di mahkamah tentera Zionis, termasuklah kerana enggan mengaku bersalah.
Amira Hass, seorang jurnalis dan penulis Israel kelahiran Jerusalem merupakan seorang yang berhaluan kiri dan terkenal dengan laporan-laporan kritis, sehinggakan beliau pernah mendapat anugerah-anugerah jurnalism tertinggi. Antaranya, beliau pernah menerima anugerah Press Freedom Hero daripada International Press Institute pada tahun 2000, Bruno Kreisky Human Rights Award pada tahun 2002, UNESCO World Press Freedom Prize pada tahun 2003, dan juga Lifetime Achievement Award daripada International Women’s Media Foundation pada tahun 2009. Beliau sendiri pernah ditangkap oleh tentera Zionis ketika dalam perjalan memasuki negara haram Israel setelah pulang daripada menyertai pelayaran solidariti ke Gaza pada awal bulan Disember 2008.
Pada hakikatnya, sehingga 700 orang kanak-kanak Palestin ditangkap oleh tentera Zionis dalam tempoh satu tahun. Lazimnya mereka yang ditangkap akan didakwa atas tuduhan melempar batu ke arah kenderaan Israel atau tentera Zionis. Apa yang berlaku apabila kanak-kanak ini ditangkap dan ditahan? 97 peratus daripada kanak-kanak ini menjadi mangsa penyiksaan, bahkan 14 peratus daripada mereka menjadi mangsa gangguan seksual atau ancaman kekerasan seksual.
Melalui kajian ke atas 100 orang kanak-kanak berumur di antara 12 dan 17 tahun yang telah ditangkap sepanjang tahun lepas, Hass memberikan statistik terperinci yang menggambarkan kezaliman dan perlanggaran hak-hak kemanusiaan oleh tentera Zionis.
Menurut laporan Hass, penderaan ini berlaku dengan begitu ketara sejak dua tahun lalu apabila tentera Zionis menangkap sekumpulan kanak-kanak Palestin di kem pelarian Arroub atas tuduhan membaling batu ke arah kenderaan-kenderaan Zionis yang melalui kawasan tersebut.
Tentera Zionis mendakwa kanak-kanak tersebut ditangkap ketika sedang membaling batu. Namun apabila diselidiki oleh seorang wakil Yayasan Hati Nurani rakyat Palestin, Mahmoud Hassan, dakwaan itu ternyata tidak benar. Beberapa orang saksi termasuk guru sekolah mengesahkan bahawa kanak-kanak tersebut sebenarnya telah ditangkap ketika mereka berada di pintu masuk sekolah.
Dalam sesi terakhir perbicaraan kanak-kanak kem pelarian Arroub ini, mahkamah Zionis mengumumkan bahawa mereka akan membawa beberapa orang guru sekolah untuk memberi kenyataan di mahkamah. Guru-guru ini akan bersaksi bahawa tentera Zionis telah menangkap kanak-kanak berkenaan di sekolah, bahkan dari dalam kelas ketika mereka sedang belajar. Namun apa yang berlaku, mahkamah telah menarik balik pernyataan tersebut sebelum guru-guru hadir di mahkamah. Menurut Hass, ini hanyalah merupakan salah satu masalah yang menunjukkan peningkatan dalam penyalahguaan kuasa di mahkamah tentera Zionis terhadap kanak-kanak Palestin.
Yang pasti, jumlah kanak-kanak Palestin yang ditangkap dalam tempoh setahun mencecah sehingga 700 orang. Dari penelitian kajian ke atas kanak-kanak yang pernah ditangkap, sekitar 65 peratus daripada mereka ditangkap di antara waktu tengah malam dan jam 4:00 pagi. Sejurus selepas ditangkap, mereka kemudiaannya akan berhadapan dengan berbagai bentuk penyiksaan dan penganiayaan.
Hampir kesemua daripada mereka – 97 peratus, diikat pergelangan tangan dalam tempoh yang sangat lama, manakala 92 peratus daripada mereka ditutup mata untuk jangkasama yang lama juga. 69 peratus daripada mereka menjadi mangsa penderaan fizikal oleh askar dan juga penyiasat tentera, termasuklah ditampar, ditendang dan dihentak dengan menggunakan objek seperti senjata. 26 peratus daripada mereka dipaksa berada dalam keadaan atau posisi yang menyakitkan secara berterusan. Mereka juga tidak diberi makan dan minum.
Seorang kanak-kanak menyebut bahawa dia telah diikat, ditutup mata dan dipaksa duduk di atas lantai sebuah jip atau kenderaan tentera sepanjang perjalanan dibawa menuju ke penjara.
Selain daripada itu, 49 peratus dari kanak-kanak yang ditangkap telah diancam dengan kekerasan sekiranya mereka tidak mengaku bersalah. 32 peratus lagi mendakwa mereka dipaksa menandatangani surat pengakuan berbahasa Hebrew yang mereka sendiri tidak memahaminya.
Bagi Hass, beliau agak terkejut dengan dakwaan penyiksaan berbentuk seksual. Menurut beliau, mereka yang ditahan biasanya akan mengambil masa yang agak lama untuk menceritakan perkara ini kepada peguam yang menyiasat. Namun, semua kanak-kanak yang disoal-siasat dalam kajian ini menceritakan semuanya sejurus selepas mereka dibebaskan daripada tahanan. 50 peratus daripada kanak-kanak ini mendakwa mereka telah di hina secara seksual dalam bentuk fizikal dan verbal.
Seorang mangsa yang berumur 15 tahun telah ditampar dan disakiti kemaluannya apabila dia tidak mengaku bersalah atas tuduhan membaling batu dan bom Molotov. Menurut kanak-kanak ini, apabila beliau tidak mengaku membaling batu atau bom Molotov, askar yang bertanya akan menengking sambil memaki-hamun bahawa dia berbohong, dan seterusnya menyiksa kemaluannya selagi mana dia tidak mengaku berbuat kesalahan itu. Tidak tertahan siksaan, kanak-kanak ini akhirnya mengaku bersalah membaling batu.
Kezaliman seperti ini berterusan tanpa ada sebarang dakwaan di buat ke atas pihak berkuasa Zionis kerana ibupada atau wakil-wakil kanak-kanak ini tidak mempunyai keyakinan terhadap sistem pengadilan Israel yang akan dilalui. Malahan mereka bimbang sistem pengadilan atau pihak-pihak tertentu di Israel akan bertindak balas sekiranya mereka membuat sebarang dakwaan.
Undang-undang Israel mewajibkan semua proses interogasi oleh tentera Zionis dirakam. Namun ejen penyiasat Shin Bet dikecualikan daripada undang-undang ini. (mn/Hareetz/alqudspress)

No comments:

Post a Comment